PRS sebagai ‘tulang belakang’ sekolah
BANGI – Bagi memperkasakan lagi peranan dan keberkesanan Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di sekolah di daerah Petaling Perdana, Pejabat Pelajaran Daerah Petaling Perdana peringkat daerah berkenaan.
Program turut sama mendapat kerjasama Majlis Guru Kaunseling Daerah Petaling Perdana itu diadakan di Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC), baru-baru ini.
Pengerusi Majlis Guru Kaunseling Daerah Petaling Perdana, Abidah Omar berkata, PRS diwujudkan sejak 1987 adalah usaha ke arah memperkasa fungsi PRS di sekolah masing-masing.
Menurutnya, PRS didefinisikan sebagai pelajar yang dilatih dalam bidang kemahiran asas kaunseling dan komunikasi kemudiannya berfungsi sebagai pembimbing berkesan kepada rakan sebaya terutamanya kepada golongan sasaran.
“PRS menjadi penghubung dan mempunyai hubungan rapat dengan guru kaunseling yang bertindak selaku pembantu dalam menyelesaikan masalah yang berkaitan pelajar di sekolah.
“Bahkan PRS juga diibaratkan seperti ‘tulang belakang’ kepada perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling,” katanya.
Menurutnya, program itu juga bertujuan melatih, memupuk, menyemai serta melahirkan PRS cemerlang selain menekankan kepada mereka mengenai pentingnya memahami dan bertanggungjawab sebagai ahli PRS.
“Kesemua aktiviti dalam program ini dikendalikan sepenuhnya Jurulatih Utama PRS Daerah Petaling Perdana, Sharizal Ahmad.
“Sebagai PRS yang berjaya, mereka perlu memiliki kemahiran komunikasi yang baik untuk menarik perhatian pelajar khususnya pelajar yang bermasalah ketika sesi kaunseling,” katanya.
Abidah berharap juga PRS mempunyai kesedaran mengenai tanggungjawab dan peranan supaya dapat melaksanakan dengan baik sama ada dalam pencapaian akademik mahupun pembentukan sahsiah.
Antara pengisian pada program bertemakan ‘Bantu diri sebelum membantu orang lain’ adalah seperti ‘Ice Breaking’, Latihan Dalam Kumpulan Sesi 1 (LDK) yang bertajuk Mari Berkenalan dan LDK sesi 2 dengan bertajuk Komunikasi Berkesan.
Difahamkan juga, program itu adalah bagi memenuhi program PRS bagi membolehkan peserta menerima sijil dan membentuk individu supaya dapat mengenali kelemahan diri dan kekuatan yang ada bagi meneroka cara-cara terbaik untuk mengatasi kelemahan diri.
Sinar Harian: 7 September 2009
Isnin, 7 September 2009
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan