Ahad, 6 September 2009

Semua sekolah perlu sedia bilik pengasingan

KUALA LUMPUR: Semua sekolah di seluruh negara perlu menyediakan bilik pengasingan yang sesuai dan mencukupi bagi menempatkan pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), minggu depan jika mereka mempunyai tanda-tanda jangkitan Influenza A (H1N1).

Sambil mengalu-alukan keputusan Kementerian Pelajaran mewajibkan pengambilan suhu badan pelajar, Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata keputusan itu juga amat wajar dan perlu disokong sepenuhnya.

“Langkah ini memang tepat bagi mengelak penularan H1N1 di kalangan pelajar. Sepatutnya perkara ini sudah lama dilakukan untuk memastikan keadaan kesihatan pelajar sekolah ini lebih terjamin. Kami harap pihak sekolah mempunyai kemudahan mencukupi, terutama bilik yang sesuai untuk pengasingan,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Beliau berkata, selain menyediakan bilik sesuai dan mencukupi, keselamatan guru bertugas juga perlu diambil kira selain pemantauan berterusan dilakukan dan bukan hanya pada musim menjelang peperiksaan.

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohamad Arsad, berkata ibu bapa tidak perlu risau keselamatan anak mereka kerana semua langkah perlu sudah diambil bagi memastikan pelajar yang terbabit dalam UPSR tidak terganggu dengan pelaksanaan ujian suhu badan itu.

Katanya, perkara itu dipersetujui secara bersama oleh semua kesatuan guru selepas mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom kelmarin.

“Kerajaan menyediakan peruntukan lebih RM4.5 juta bagi membekalkan topeng penutup mulut serta hidung dan termometer untuk kegunaan guru pengawas peperiksaan seluruh negara,” katanya.

Selain itu, semua sekolah juga mampu menyediakan bilik pengasingan mencukupi.

“Satu unit kecemasan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan juga akan ditempatkan di semua sekolah. Garis panduan bagi pelajar yang menduduki peperiksaan UPSR ini akan diguna untuk pelajar yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia nanti,” katanya.

Mohamad Sabri berkata, mesyuarat itu juga bersetuju untuk mengarahkan pelajar yang tidak terbabit dengan peperiksaan UPSR dibenarkan pulang, jika ada hasil ujian suhu badan dijalankan ke atas pelajar UPSR mempunyai tanda-tanda H1N1.

Berita Harian Online: 6 September 2009

Tiada ulasan: