Rabu, 10 Jun 2009

Bas terbalik: Dua guru parah, 17 pelajar cedera


Bas persiaran yang membawa pemain kriket terdiri 31 murid dan tujuh guru dari Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor terbalik dalam kemalangan di Kilometer 316.3, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur keluar ke Tapah, semalam. – UTUSAN/Azhar Mogo


TAPAH 9 Jun – Sebuah bas persiaran yang membawa 31 pemain kriket Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Selangor (MSSS) dan tujuh orang guru terbabas ke dalam parit di Kilometer 316.3, Lebuh Raya Utara Selatan, 10 kilometer dari susur keluar ke Tapah, hari ini.

Kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 1.23 petang itu menyebabkan dua orang guru parah dan 17 pelajar cedera ringan. Mereka dihantar ke Hospital Tapah untuk rawatan.

Sehingga petang ini, hanya dua guru berkenaan iaitu Fitri Aziz Sahlan dan Tahir Othman dan seorang pelajar, Husaini Idris yang trauma masih dirawat di Hospital Tapah manakala pelajar lain telah dibenarkan keluar.

Mereka kini ditempatkan di Pusat Kecemerlangan Sukan Batang Padang sebelum dihantar pulang.

Menurut pengurus pasukan, Mohd. Hilmi Abu Hamad, 33, kejadian berlaku ketika pasukan kriket itu dalam perjalanan pulang selepas menyertai kejohanan kriket Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) di Sekolah Penang Free, Pulau Pinang.

“Bas yang kami naiki terbabas bukan kerana dipandu laju tetapi kerana tayar kiri bahagian hadapan pancit dan menyebabkan ia hilang kawalan lalu terbabas dan terbalik ke dalam parit di sebelah kiri lebuh raya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Seorang lagi mangsa, Aizat Mustafa, 12, dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepong melahirkan rasa sedihnya kerana kemalangan itu berlaku ketika mereka baru sahaja menjuarai pertandingan kriket MSSM.

Pemain pasukan bawah 12 tahun itu berkata, sebelum kejadian, dia dan sebahagian rakan serta guru sedang meraikan kemenangan dengan menyanyikan lagu.

“Pada mulanya kami begitu gembira kerana muncul juara kategori bawah 12 tahun selama tiga tahun berturut-turut tetapi kegembiraan kami hilang selepas kemalangan itu yang terjadi secara mengejut,” katanya.

Pemain kriket bawah 18 tahun, Mohd. Arif Sulaiman, 16, pula memberitahu, dia sedang tidur semasa kejadian dan hanya sedar apabila bas sudah terbalik.

“Sebaik sahaja sedar, saya dapati jari tangan saya luka kerana terkena serpihan kaca dan saya kemudian merangkak keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Ketua kontinjen pasukan itu, Maserah Asri, 51, yang menaiki kenderaan lain ketika ditemui, melahirkan rasa syukur kerana semua pelajar dan guru dalam bas tersebut terselamat.

“Jika dilihat pada keadaan bas yang remuk, memang tidak sangka mereka semua boleh selamat. Saya bersyukur pada Allah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Supritendan Roslan Bek ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.

Beliau berkata, siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku akibat kerosakan pada tayar bas tersebut dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Utusan Malaysia Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: