Rabu, 10 Jun 2009

Sistem sijil terbuka SPM longgar

Oleh Sazarina Shahrim, Norliza Abdullah, Khairul Azran Hussin dan Norakmah Mat Youb
bhnews@bharian.com.my

Pelajar tak bersungguh kerana tahu hanya perlu lulus BM dapat sijil penuh

KUALA LUMPUR: Sistem pensijilan terbuka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diguna pakai ketika ini dianggap longgar kerana hanya memerlukan calon lulus Bahasa Malaysia untuk membolehkan mereka mendapat sijil penuh.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom menjelaskan, sistem sekarang juga tidak mewajibkan calon SPM lulus Bahasa Inggeris dan itu yang menimbulkan reaksi kurang senang Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Walaupun sistem itu menggalakkan calon SPM mengambil banyak mata pelajaran, dari segi kelayakan untuk membolehkan seseorang calon mendapat sijil penuh, ia masih longgar.

"Jadi, dari satu sudut, sesetengah pelajar mungkin tidak bersungguh-sungguh kerana mereka tahu hanya perlu lulus Bahasa Malaysia untuk mendapat sijil penuh SPM," katanya ketika dihubungi Berita Harian semalam.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran meminta orang ramai memberikan pandangan mengenai kemungkinan calon SPM diwajibkan lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk melayakkan mereka menerima sijil penuh.

Muhyiddin berkata, maklum balas orang ramai diperlukan mengenai perkara itu kerana sebelum ini beranggapan semua pelajar perlu lulus Bahasa Inggeris untuk mendapat sijil penuh SPM.

Timbalan Perdana Menteri juga mendapati Bahasa Inggeris sekarang diajar tanpa penekanan kepada tatabahasa, sebaliknya hanya mempelajari `Communicative English'.

Mengulas mengenainya, Alimuddin berkata, mata pelajaran Bahasa Inggeris diajar menggunakan kaedah `Communicative English' bagi memantapkan penggunaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar.

"Kaedah `Communicative English' digunakan sejak awal 1980-an bagi menggantikan kaedah pembelajaran tatabahasa, sekali gus meningkatkan penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perhubungan.

"Ini berbeza dengan kaedah terdahulu yang menekankan pemahaman tatabahasa berbanding komunikasi, tetapi kaedah kini adalah sebaliknya dengan menekankan komunikasi," katanya.

Susulan kenyataan Muhyiddin kelmarin, Kementerian Pelajaran semalam mengambil langkah proaktif dengan menyediakan talian telefon dan e-mel bagi memudahkan orang ramai mengemukakan cadangan dan pandangan mengenai isu Bahasa Inggeris sebagai syarat wajib untuk lulus SPM.

Unit Komunikasi Korporat kementerian itu dalam kenyataannya meminta orang menyalurkan pandangan mereka kepada talian khidmat pelanggan 03-77237070 atau e-mel kpkpm@moe.gov.my.

Alimuddin berkata, ia bagi memberi peluang kepada ibu bapa, individu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan semua yang terbabit mengemukakan cadangan mengenai isu itu.

Berita Harian Online: 10 Jun 2009

Tiada ulasan: