Sabtu, 6 Jun 2009

Sekolah mendap 5 tahun - Peruntukan baik pulih RM2 juta, siap Oktober


SMK Setapak Indah di Kuala Lumpur mengalami mendapan sehingga pada paras satu meter sejak 2004.


KUALA LUMPUR - Masalah mendapan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Setapak Indah di sini yang berlarutan sejak lima tahun lalu sedang dibaiki dan dijangka siap menjelang Oktober ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan untuk membaik pulih sekolah berkenaan oleh kontraktor tempatan.

"Ini merupakan janji kementerian untuk menjalankan kerja-kerja membaik pulih dalam tempoh sebulan dan pagi ini (semalam) saya datang untuk memastikan kerja-kerja membaik pulih sudah berjalan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan di sini semalam.

Dalam pada itu, Shaziman turut memberi jaminan sekolah berkenaan selamat digunakan berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya (JKR) setelah mendapati mendapan di SMK Setapak Indah itu tidak menjejaskan struktur bangunan sekolah tersebut.

"Ibu bapa tak perlu bimbang. Struktur sekolah ini masih selamat, cuma berlaku mendapan. Mengikut maklumat yang saya terima daripada Jabatan Kerja Raya (JKR) tanah ini bekas tanah lombong.

"Sudah menjadi kebiasaan, kalau ada sekolah di kawasan perumahan, pemaju akan menyediakan tanah yang kurang kualiti untuk dibina sekolah, tapi kita akan cuba atasi masalah ini dengan segera" katanya.

Lawatan Shaziman itu adalah susulan daripada lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke sekolah tersebut pada April lalu. Selepas lawatan itu, Muhyiddin mengarahkan supaya kerja pemulihan dijalankan segera.

Sekolah tersebut dibuka pada 2001 dan masalah mendapan mula dikesan sejak 2004.

Kosmo Online: 6 Jun 2009

Tiada ulasan: