Khamis, 4 Jun 2009

Demonstrasi menyelamat di sekolah

PONTIAN 3 Jun - Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Pontian mengadakan demonstrasi kerja-kerja menyelamat kepada murid dan guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Boh Serkat di sini kelmarin.

Demonstrasi diadakan sempena dengan aktiviti perkhemahan unit beruniform sekolah tersebut yang disertai 60 murid dan 13 guru bermula 29 Mei lalu.

Menurut Pegawai Penyelaras JPAM Pontian, Maat Saadon, seramai sembilan anggotanya terlibat dalam demonstrasi itu iaitu menurunkan mangsa dengan tali dari bangunan tinggi.

"Program seperti ini memberi pengalaman kepada guru dan murid-murid untuk merasai aktiviti lasak dengan menggunakan teknik normal rappelling yang belum pernah mereka lakukan," katanya di sini.

Beliau berkata, masyarakat dan orang awam juga perlu mengetahui perkara-perkara asas sekurang-kurangnya bagi menyelamatkan keluarga dan orang awam yang memerlukan pertolongan dengan segera.

Maat berkata, pihaknya bersedia memberikan tunjuk ajar kepada mana-mana pihak yang berminat untuk mempelajari teknik menyelamat mangsa semasa dalam kecemasan.

Katanya, matlamat JPAM ialah untuk melibatkan lebih ramai masyarakat dalam kerja-kerja sukarelawan dan membantu mangsa-mangsa seperti kemalangan jalan raya, kebakaran, tanah runtuh dan banjir.

Sehubungan itu, beliau berharap lebih ramai golongan belia dan orang ramai menyertai pasukan sukarelawan seperti JPAM supaya lebih ramai tenaga sukarelawan dapat dilahirkan pada masa depan.

Utusan Malaysia Online: 4 Jun 2009

Tiada ulasan: