Khamis, 4 Jun 2009

3 pasukan SMK Kedai Buloh wakil negeri dalam kawad kaki


Pasukan Kadet Laut Lelaki SMK Kedai Buloh yang menjadi johan pertandingan kawad kaki peringkat negeri Kelantan di Kota Bharu.


KOTA BHARU 3 Jun - Tiga pasukan badan beruniform Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kedai Buloh yang menjuarai Pertandingan Kawad Kaki Peringkat negeri baru-baru ini akan mewakili negeri itu ke pertandingan peringkat kebangsaan di Kuantan pada 19 Jun ini.

Pengetuanya, Sabariah Ibrahim berkata, pencapaian itu suatu yang membanggakan pihak sekolah dan wakil mereka akan berusaha memikul tanggungjawab tersebut bagi mengharumkan nama negeri.

''Tiga pasukan terlibat iaitu Kadet Laut Lelaki, Kadet Laut Perempuan dan Bulan Sabit Merah Perempuan akan bersaing dengan wakil negeri-negeri seluruh negara," katanya ketika ditemui hari ini.

Beliau berkata, pasukan Kadet Laut Lelaki ditubuhkan ketika pelajar terlibat berada di tingkatan satu, mewakili Kelantan untuk kali kedua tahun ini.

''Pasukan Bulan Sabit Merah Perempuan pula mencatatkan sejarah tersendiri apabila terpilih menjadi johan setelah ditubuhkan awal tahun ini," katanya.

Sementara itu, Kadet Laut Perempuan pula julung-julung kali menjadi johan sejak ditubuhkan tahun lalu.

Menurutnya, seramai 105 pelajar terlibat dalam tiga badan beruniform kini gigih menjalani latihan bagi memenangi pertandingan di peringkat kebangsaan itu.

Utusan Malaysia Online: 4 Jun 2009

Tiada ulasan: