Sabtu, 6 Jun 2009

Sabah & Sarawak: Tiga terpilih Tokoh Guru Sabah

KENINGAU: Tiga warga pendidik dipilih sebagai Tokoh Guru Sabah 2009 sempena sambutan Hari Guru peringkat negeri ke-38 di sini, semalam.

Bekas Ketua Nazir Sabah, Aminah Musally, 59, Bekas Pegawai Pelajaran Lahad Datu, Zainal Abdin Laja, 59 dan Allahyarham Datuk Shuhaibun Yussof dipilih berdasarkan ketokohan serta kredibiliti masing-masing sepanjang bertugas sebagai guru dan menjawat pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan sebelum bersara.

Aminah yang berasal dari Beaufort, menyifatkan penghargaan itu sebagai pencapaian tertingginya selepas menunaikan tanggungjawab dalam perkhidmatan pendidikan.

"Kita mesti berbangga dengan kerjaya sebagai guru dan ikhlas dalam berbakti terhadap bangsa, agama dan negara.

"Saya mungkin bersara daripada perkhidmatan tetapi tetap menabur bakti," katanya.

Beliau ditemui selepas menerima anugerah daripada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Zainal Abdin berkata, keikhlasan dalam tugas adalah perkara utama untuk membolehkan pendidik menyerap rasa tanggungjawab terhadap kerjaya itu.

"Saya masih dipanggil `cikgu' walaupun sudah bersara dan bagi saya, itu adalah pencapaian tersendiri yang wajar dibanggakan," katanya.

Datin Ripah Julang, 63, yang hadir mewakili arwah suaminya, terharu dengan pengiktirafan itu.

"Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan dan penghormatan ini akan kami kenang selama-lamanya," katanya.

Shuhaibun meninggal dunia pada 25 Mac lalu selepas bersara daripada perkhidmatan pada Disember 1989.

Hadir sama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Pelajaran Sabah, Datuk Normah Gagoh.

Berita Harian Online: 6 Jun 2009

Tiada ulasan: