Sabtu, 6 Jun 2009

Timur: Adun minta atasi masalah kurang guru di pedalaman

GUA MUSANG: Masalah kekurangan guru terutamanya yang membabitkan mata pelajaran teras, dikenal pasti antara faktor pelajar di pedalaman seperti Gua Musang, gagal menyaingi kecemerlangan rakan mereka di bandar.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Galas, Datuk Nozula Mat Diah, meminta Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan memberi perhatian serius terhadap masalah berkenaan.

Katanya, walaupun disediakan kelas tuisyen kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan setiap tahun, namun ia masih tidak mampu untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar terutamanya membabitkan mata pelajaran Bahasa Inggeris.

"Usaha meningkatkan kecemerlangan pelajar di pedalaman seharusnya diberi keutamaan dengan menyediakan sejumlah tenaga pengajar yang mencukupi khususnya mata pelajaran teras.

"Namun keadaan sebaliknya berlaku sehingga menyebabkan pelajar di sini dilihat jauh ketinggalan berbanding rakan mereka di bandar dan JPN harus memberi perhatian serius terhadap masalah ini," katanya selepas penutup Program Khidmat Masyarakat Jabatan Sains, Matematik dan Kelab Q’Sains Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah, di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Petra Satu, dekat sini, semalam,

Nozula berkata, walaupun sudah ada guru baru ditempatkan di beberapa sekolah di pedalaman, namun masih belum mampu mengatasi masalah membabitkan tenaga pengajar.

Katanya, masalah seperti itu selalu disuarakan ibu bapa pelajar terbabit khususnya yang membabitkan mata pelajaran utama seperti bahasa Inggeris.

"Dalam usaha mengatasi masalah ini, agensi kerajaan seperti Felda dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) terpaksa membantu mengadakan kelas tuisyen kepada pelajar yang bakal menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Setiap tahun Felda mengeluarkan peruntukan lebih RM600,000 manakala Kesedar sebanyak RM2 juta, untuk mengadakan kelas tuisyen, membabitkan pelajar yang tinggal di kawasan pedalaman di empat jajahan iaitu Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Tanah Merah,” katanya.

Berita Harian Online: 6 Jun 2009

Tiada ulasan: