Rabu, 3 Jun 2009

SPM: Pelajar diminta lihat secara positif

TEMERLOH 2 Jun - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu melihat secara positif keputusan kerajaan yang hanya membenarkan mereka mengambil peperiksaan itu tidak melebihi 10 mata pelajaran mulai tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang, Datuk Mohd. Sharkar Shamsuddin berkata, tujuan kerajaan berbuat demikian ialah untuk membolehkan mereka mengambil peperiksaan dengan memberikan fokus dan penumpuan kepada mata pelajaran wajib sahaja.

Katanya, sebenarnya para pelajar tidak perlu bersengkang mata dengan mengambil terlalu banyak mata pelajaran dalam peperiksaan hanya semata-mata untuk mencipta rekod kecemerlangan.

''Saya menyokong langkah Kementerian Pelajaran itu kerana pengambilan lebih daripada 10 mata pelajaran sebenarnya tidak banyak membantu pelajar itu sendiri dari aspek pemilihan kerjaya ataupun untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran di universiti," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Anugerah Kecemerlangan Sekolah Sukan Negeri Pahang di Sekolah Menengah Kebangsaan Sebarang di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, tindakan pelajar mengambil terlalu banyak mata pelajaran turut membebankan ibu bapa dari segi kewangan apabila terpaksa menghantar anak-anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran mata pelajaran bukan pilihan tidak dibuat secara konsisten di sekolah.

Selain itu katanya, dengan hanya mengambil 10 mata pelajaran sahaja baru persaingan menjadi lebih sihat dan lebih adil untuk menentukan kecemerlangan seseorang pelajar itu berdasarkan keputusan peperiksaan apabila tidak berlaku sebarang pertindihan.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Sharkar berharap Kementerian Pelajaran dapat mewujudkan satu mekanisme yang lebih spesifik antara pelajar sekolah harian dan sekolah sukan.

Katanya, jika Kementerian Pelajaran menggunakan mekanisme yang sama antara pelajar akademik dan sukan terutamanya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti, ia akan merugikan para pelajar sekolah sukan dan sukan itu sendiri.

''Perlu ada sedikit kelonggaran kepada pelajar 1sekolah sukan kerana secara lazimnya keputusan peperiksaan mereka sudah tentunya tidak secemerlang berbanding rakan-rakan mereka yang hanya menumpukan perhatian kepada akademik semata-mata.

''Jika kaedah yang sama digunakan, nanti tidak ada pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran di sekolah sukan walaupun mereka mempunyai potensi dan bakat kerana mereka merasakan tidak mempunyai masa depan,'' kata beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang.

Utusan Malaysia Online: 3 Jun 2009

Tiada ulasan: