KUALA LUMPUR - Jumlah pengambilan guru di negara ini akan ditambah dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan yang semakin terdesak terutama di kawasan bandar.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setakat ini, negara hanya mampu menyediakan lebih 20,000 bakal guru setiap tahun baik di kalangan lulusan kursus perguruan peringkat diploma mahupun ijazah sarjana.
Beliau berharap penubuhan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang kini meningkat sebanyak 27 buah mampu membantu kerajaan merealisasikan matlamat itu.
Justeru, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran mengumumkan kerajaan bakal menubuhkan IPGM khusus dalam bidang sukan dan pelaksanaannya dijangka bermula pada tahun depan.
"IPGM ini akan melahirkan jurulatih dan pegawai sukan yang berkelayakan untuk ditempatkan di sekolah-sekolah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk menggiatkan dan memeriahkan lagi aktiviti sukan," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Buku Sejarah Perguruan Malaysia di IPGM Kampus Bahasa Melayu, Lembah Pantai di sini semalam.
Kosmo Online: 3 Jun 2009
Tiada ulasan:
Catat Ulasan