Khamis, 4 Jun 2009

Saad ke sekolah semula mulai bulan depan


Syam Haron (kiri) menyerahkan raplika cek kepada Zainuddin Ismail (dua dari kanan) sambil diperhatikan Syahrin Md. Jamaludin (dua kiri) dan Muhammad Saad Zainuddin di rumahnya di Jalan Mahmoodiah, Johor Bahru, baru-baru ini.


JOHOR BAHRU 3 Jun - Impian seorang bapa untuk melihat anaknya yang lumpuh, Muhammad Saad Zainuddin, 15, bersekolah semula dan menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) bakal menjadi kenyataan apabila pelajar itu mendapat pelbagai bantuan daripada kerajaan.

Dengan bantuan itu, Muhammad Saad, pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Aminuddin Baki yang lumpuh akibat kemalangan, dijadual meneruskan persekolahannya mulai Julai ini selepas enam bulan meninggalkan alam persekolahan.

Setiausaha Politik Menteri Pelajaran, Syahrin Md. Jamaludin berkata, kementerian turut memperuntukkan RM20,000 untuk membina tandas orang kurang upaya (OKU) bagi kegunaannya semasa sesi persekolahannya nanti.

''Dalam pada itu, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan juga dalam proses membuat laluan khas bagi memudahkan pergerakannya menggunakan kerusi roda,'' katanya selepas melawat Muhammad Saad di rumahnya di Jalan Mahmoodiah di sini baru-baru ini.

Turut hadir ialah Pengetua sekolah berkenaan, Syam Haron dan Yang Dipertua PIBG, Azman Dawam.

Penderitaan Muhammad Saad mula mendapat perhatian selepas kisahnya disiarkan Utusan Malaysia pada 21 Mei lalu.

Pelajar tersebut lumpuh selepas terlanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan ketika menunggang basikal menuruni bukit di Jalan Lingkaran Tengah, Ogos lalu.

Syahrin yang juga Exco Pemuda UMNO dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau berkata, Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menguruskan segala prosedur bagi membolehkan Muhammad Saad mengambil peperiksaan di hospital jika perlu.

Selain itu, tambahnya, melalui Skim Takaful Kelompok, pelajar itu yang dahulunya merupakan olahragawan bakal diberi bantuan RM15,000 bagi meringankan beban kos rawatannya.

''Bantuan itu akan diserahkan kepada pihak keluarga Julai ini, malah dia juga layak menerima elaun OKU kementerian berjumlah RM150 sebulan,'' jelasnya.

Bapa pelajar itu, Zainuddin Ismail, 40, ketika ditemui melahirkan kegembiraan terhadap peluang untuk belajar semula yang telah ditawarkan kepada anaknya itu.

Beliau berjanji akan memastikan anak keduanya itu menggunakan peluang yang telah diberikan dengan sebaik mungkin.

''Bersyukur sangat. Saya ingatkan anak saya ini tidak akan meneruskan pelajarannya. Namun ini semua kuasa Allah. Saya sangat bersyukur," katanya.

Utusan Malaysia Online: 4 Jun 2009

Tiada ulasan: