Khamis, 4 Jun 2009

Guru perlu mekanisme baru didik Orang Asli

PORT DICKSON 3 Jun - Warga pendidik yang ditempatkan di kawasan Orang Asli di negeri ini perlu mencari kaedah dan mekanisme baru bagi membolehkan para pelajar di sekolah menjadikan sekolah sebagai pusat kecemerlangan pendidikan di negara ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Jamali Salam berkata, para pelajar Orang Asli perlu diberikan bimbingan yang terbaik memandangkan mereka dilihat mempunyai kebolehan yang sama seperti mereka yang menuntut dikawasan bandar.

Katanya, para guru seharusnya menjadikan ia sebagai satu medan untuk mengenal pasti kebolehan dan bakat anak-anak didik agar lebih berkeyakinan sekaligus menjadikan sekolah sebagai gedung ilmu mereka.

''Para guru harus komited dalam menjalankan tugas meskipun mereka ditempatkan dikawasan Orang Asli. Justeru mereka harus memikirkan kaedah yang terbaik untuk para pelajar ini mengembangkan bakat mereka sama ada dalam bidang kurikulum dan kokuriklum.

''Pada masa yang sama, pengalaman mengajar oleh guru yang diperoleh boleh dikongsi bersama bagi membolehkan ilmu itu dikembangkan dan diperhalusi supaya ia boleh digunapakai untuk semua guru kelak,'' katanya.

Jamali berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutup Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru- Guru Bagi Sekolah-Sekolah Orang Asli di sini hari ini.

Katanya, guru-guru tidak seharusnya gentar ketika menghadapi cabaran seperti itu sebaliknya terus berusaha bagi meningkatkan lagi mutu profesionalisme sungguhpun bertugas di kawasan berkenaan.

Utusan Malaysia Online: 4 Jun 2009

Tiada ulasan: