Rabu, 3 Jun 2009

Mutakhir: SPM: Kepentingan pelajar SMA diambil kira

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan kerajaan akan tetap mengambil kira kepentingan pelajar sekolah menengah agama (SMA) dalam mengehadkan mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Timbalan Perdana Menteri, berkata ruang untuk pelajar berkenaan masih terbuka dan perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan dilaksanakan bagi mencari penyelesaian terbaik.

“Kita akan beri ruang kepada pelajar sekolah menengah agama yang mengambil mata pelajaran sains dan agama. Kita masih menerima pandangan berhubung perkara ini... bukan bermakna kita akan teruskan pelaksanaannya selepas membuat keputusan mengenainya.

“Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom sudah diarah berbincang dengan pentadbir dan pihak bertanggungjawab mengenai agama bagi menguruskan perkara itu,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan ucap utama di Kongres Dewan Perniagaan Dunia (WCC) ke-6, serta perasmian Pameran Perbadanan Pembangunan Industri Kecil dan Sederhana (Smidex) 2009 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, petang ini.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran mengulas kebimbangan ibu bapa dan pelajar aliran agama mengenai kekangan untuk mengambil mata pelajaran elektif dalam bidang pengkhususan mereka berikutan keputusan Kementerian Pelajaran mengehadkan pengambilan maksimum 10 subjek dalam SPM yang diumumkan Muhyiddin minggu lalu.

Berita Harian Online: 3 Jun 2009

Tiada ulasan: