Isnin, 8 Jun 2009

Permohonan guru anak sakit hampa

APA yang saya ingin kongsikan mungkin hampir senasib dengan "Suami Kecewa" yang menghadapi dilema isteri bekerja berjauhan dan pertukaran tidak diluluskan. Sudah empat kali isteri saya memohon bertukar dari Kuala Lumpur ke Kelantan tetapi tidak diluluskan tanpa alasan yang munasabah.

Untuk pengetahuan Menteri Pelajaran, Pengarah Pelajaran, Bahagian Pendidikan Islam (BPI) dan juga pembaca, anak saya telah pun disahkan oleh doktor Pakar Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL) menghidapi sejenis penyakit Genetik Metabolik iaitu Urea Cycle Disorder Due to Arginosuccinic Lyase Deficiency.

Penyakit ini menyebabkan pesakit koma jika paras ammonia dalam badan menjadi terlalu tinggi. Kesannya kanak-kanak boleh mengalami kecacatan otak berkekalan.

Untuk makluman penyakit ini memerlukan penjagaan khas, rawatan khas dan juga makanan khas. Boleh dikatakan penghidap penyakit ini amat memerlukan penjagaan khas terutamanya dalam pemberian ubatan yang mesti mengikut sukatan yang betul dan juga pemakanan yang perlu disediakan mengikut arahan pakar pemakanan HKL.

Apa yang menimbulkan kekecewaan di hati saya ialah bagaimana pertukaran isteri saya bagaikan terlepas pandang dan tidak mendapat perhatian daripada pihak BPI. Tidakkah pihak BPI menyiasat terlebih dahulu masalah kesihatan anak saya dengan Institut Pediatrik jika masih ragu-ragu dengan kes ini ataupun bertanya khabar dengan pihak yang merawat sejauh manakah kritikalnya penyakit ini.

Ingin saya bertanya kepada pihak BPI dan juga KPM adakah surat pengesahan doktor pakar kerajaan tidak laku di Kementerian Pelajaran Malaysia. Kenapa pihak BPI tidak mengurus pertukaran Guru Pendidikan Islam secara bijak dan hikmah bukan hanya melepaskan batuk di tangga sahaja. Bukankah kes masalah kesihatan kronik seharusnya diutamakan dan diberikan perhatian oleh BPI dan juga Kementerian Pelajaran.

Persoalannya di sini sampai bila pertukaran isteri saya akan diluluskan. Haruskah saya menunggu dan terus menunggu sehingga bertahun lamanya sedangkan pada masa yang sama keadaan kesihatan anak saya semestinya diberikan perhatian oleh ibunya.

Ingatlah kata-kata Perdana Menteri kita iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan sememangnya perlu dihayati dengan lebih tulus dan ikhlas.

Kota Bharu, Kelantan

Utusan Malaysia Online: 8 Jun 2009


Tiada ulasan: