Sabtu, 5 September 2009

Pindah pelajar histeria ke sekolah lain



TEMERLOH- Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang mengambil langkah memindahkan pelajar Sekolah Menengah Kebang-saan (SMK) Paya Pulai yang sering menjadi mangsa serangan histeria ke sekolah lain sebagai cara terakhir mengatasi masalah di sekolah itu.

Pengarahnya, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, beberapa hari sekolah dibuka kembali selepas cuti penggal lalu kejadian histeria di sekolah itu terus berlaku walaupun pada bulan puasa.

Menurutnya, pendekatan itu diambil setelah pihak pengurusan sekolah menghadapi jalan buntu menyelesaikan masalah kejadian histeria berkenaan yang berlaku sejak empat bulan lalu.:

“Keputusan memindahkan beberapa pelajar yang sering menjadi mangsa histeria ini ke sekolah lain adalah cara yang sama digunakan oleh JPN ke atas pelajar di SMK Tanjung Lumpur, Kuantan tahun lalu.

“Pendekatan seperti itu didapati berjaya bagi meredakan keadaan dan serangan histeria beransur pulih. Jadi pihak JPN mengambil langkah sama untuk melihat sama ada pendekatan ini berjaya atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan topeng muka serta jangka suhu kepada 11 Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) di SMK Abu Bakar di sini.

Abdul Aziz berkata, dia gembira kerana selepas sekolah di buka tiga hari lalu tidak ada pelajar baru yang diserang histeria tetapi ia terus berlaku kepada pelajar yang pernah menjadi mangsa sebelum ini.

Menurutnya, JPN tidak akan memaksa pelajar terbabit atau ibu bapa menukarkan anak mereka ke sekolah lain kerana segala keputusan di tangan ibu bapa sendiri.

“Kita hanya menasihati supaya mereka bertukar sekolah lain secara sukarela dan tidak ada paksaan walaupun pendekatan seperti itu dilihat mampu untuk memulihkan keadaan dan kaedah itu didapati berkesan semasa dipraktikkan di SMK Tanjung Lumpur sebelum ini.

“Ibu bapa yang terlibat perlu berbincang terlebih dahulu sebelum mengambil sebarang keputusan sama ada mahu menukarkan anak ke sekolah lain ataupun tidak,” katanya.

Sinar Harian difahamkan pelbagai usaha dilakukan sebelum ini bagi menangani masalah itu termasuk menggunakan khidmat rawatan Islam namun kejadian histeria membabitkan 80 pelajar perempuan sekolah berkenaan masih berlaku.

Selain pelajar, salah seorang guru perempuan di sekolah berkenaan turut tidak terkecuali daripada diserang histeria hingga menjejaskan kesihatannya untuk mengajar anak muridnya.

Kejadian histeria yang berlaku empat bulan lalu itu menyebabkan pembelajaran pelajar sekolah terbabit terutamanya pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi terganggu.

Sinar Harian (Edisi Pahang): 5 September 2009

Tiada ulasan: