Jumaat, 4 September 2009

Penuhi permintaan

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

Dua lagi SBP baru dibuka tahun depan dengan ambilan 600 lulusan UPSR, PMR

DUA lagi sekolah berasrama penuh (SBP) baru akan dibuka tahun depan bagi menampung permintaan tinggi lulusan cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memasuki sekolah berkenaan.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kluster, Kementerian Pelajaran, Norlia Mohd Shuhaili, berkata SBP terbabit masing-masing di Rembau, Negeri Sembilan dan Tapah, Perak.

Sebagai permulaan, beliau berkata, kumpulan pertama 300 pelajar, masing-masing 150 Tingkatan Satu dan Empat akan diambil memasuki setiap SBP baru itu.

“Kita menerima banyak permohonan daripada lulusan UPSR dan PMR untuk memasuki Tingkatan Satu dan Empat di SBP setiap tahun, sedangkan jumlah tempat ditawarkan terhad.

“Keadaan ini menyebabkan persaingan sengit di kalangan mereka untuk mendapatkan tempat. Dengan pertambahan dua lagi SBP ini diharap lebih ramai pelajar dapat memasuki sekolah ini,” katanya kepada Berita Harian.

Beliau menjelaskan, tiga SBP baru di Bagan Datoh, Perak; Kubang Pasu, Kedah dan Kepala Batas, Pulau Pinang, sudah memulakan operasinya awal tahun ini.

Norlia berkata, setiap SBP itu juga mengambil 300 pelajar Tingkatan Satu dan Empat sejak April lalu dan dengan itu jumlah keseluruhan 57 SBP seluruh negara setakat ini.

“Kualiti pembelajaran dan kemudahan prasarana disediakan di SBP menjadikannya tarikan dan permintaan tinggi di kalangan ibu bapa yang mahukan anak mereka belajar di sekolah ini.

“Bagaimanapun, dalam hal ini ibu bapa perlu sedar bahawa jumlah tempat yang kita tawarkan amat terhad, selain syarat kemasukan pelajar yang ditetapkan ketat.

“Pelajar bukan saja dinilai dari segi pencapaian akademik, malah mencakupi aspek kokurikulum, taraf pendapatan keluarga, lokasi tempat tinggal dan kepemimpinan. Keutamaan diberi kepada pelajar luar bandar,” katanya.

Tahun lalu, Norlia berkata, kira-kira 6,100 lulusan cemerlang UPSR diambil memasuki Tingkatan Satu dan 3,400 PMR mengikuti pelajaran Tingkatan Empat di SBP seluruh negara.

Berita Harian Online: 4 September 2009

Tiada ulasan: