Sabtu, 5 September 2009

Ibu bapa calon UPSR perlu peka

Oleh Haika Khazi dan Umi Nadirah Abdul Rahman
bhnews@bharian.com.my

PUTRAJAYA: Ibu bapa 517,908 calon peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diminta sentiasa mengikuti perkembangan wabak selesema babi (H1N1) selain memastikan anak mereka mengamalkan kebersihan diri.

Peperiksaan berkenaan akan bermula Selasa ini selama tiga hari di 8,289 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kementerian Pelajaran dalam kenyataan media semalam berkata, Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) juga mengeluarkan pekeliling khas berkaitan garis panduan menghadapi H1N1 yang boleh mengancam perjalanan peperiksaan kepada semua sekolah.

Garis panduan berkenaan menghendaki pelajar dan keluarga mengikuti perkembangan terkini mengenai jangkitan H1N1 menerusi KPM dan Kementerian Kesihatan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong, dalam satu kenyataan menjelaskan, murid yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital berikutan wabak H1N1, tidak diberi sebarang penangguhan tarikh untuk menduduki UPSR.

Murid yang tidak sihat dan perlu dimasukkan ke hospital boleh menduduki UPSR pada tarikh sama dengan pengawasan khas.

“Ibu bapa atau penjaga juga perlu menasihati anak mereka supaya sentiasa menjaga kesihatan dan mengamalkan langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan virus H1N1 daripada terus merebak.

“Pelajar dan ahli keluarga juga perlu memaklumkan kepada pihak sekolah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan LPM sekiranya mereka mempunyai tanda jangkitan H1N1,” katanya.

LPM juga membuka Bilik Gerakan USPR yang beroperasi 24 jam bagi memudahkan orang ramai berurusan dan menyalurkan sebarang maklumat mulai 1 hingga 11 September ini. Mereka yang menghadapi masalah boleh menghubungi 03-88893601 atau 03-88893809, faksimili 03-88893010 dan 03-88893445.

Daripada jumlah calon itu, seramai 510,127 atau 98.5 peratus adalah calon sekolah di bawah Kementerian Pelajaran manakala baki 7,783 atau 1.5 peratus lagi calon swasta.

“Semua calon dinasihat membawa Borang Perakuan Calon Peperiksaan UPSR 2009 dan dikehendaki meletakkannya di atas meja untuk semakan Ketua Pengawas pada setiap hari peperiksaan.

"Mereka juga dikehendaki menduduki Ujian Aptitud Darjah Enam yang baru diperkenalkan, pada hari terakhir peperiksaan UPSR," katanya.

Berita Harian Online: 5 September 2009

Tiada ulasan: