Sabtu, 5 September 2009

Suasana sebak iringi persaraan Cikgu On Jaafar



On Jaafar diraikan murid-murid dan guru semasa diarak dengan kenderaan pacuan empat roda pada majlis persaraannya di SK Sungai Abong, kelmarin. - UTUSAN/ KAMIL MASLIH


MUAR 4 Sept. - Suasana sebak menyelubungi murid-murid dan guru-guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Abong, di sini semalam kerana menangisi persaraan Guru Besar tercinta mereka, On Jaafar.

Sebagai tanda perpisahan, guru besar berkenaan diarak menaiki kenderaan pacuan empat roda.

On, 56, yang merupakan anak kelahiran Kampung Leban Chondong, Romping, Pahang telah menjadi seorang pendidik selama 31 tahun.

Lulusan Institut Perguruan Raja Melewar, Negeri Sembilan ini telah berkhidmat di beberapa sekolah termasuk menjadi guru di Sekolah Menengah (SM) Selayang Baru, Selangor serta SM Sains Muar dan Sekolah Menengah Kebangsaan St. Andrew, di sini.

Selain menerajui SK Sungai Abong, beliau juga pernah menjadi guru besar di SK Panjang Sari dan SK Ismail 1, di sini.

On dalam ucapan pada majlis sempena persaraannya berharap SK Sungai Abong akan terus mengecapi kejayaan dalam kedua-dua bidang akademik serta kokurikulum.

"Saya berharap supaya murid-murid sekolah ini dapat belajar bersungguh-sungguh serta berjaya dalam mencapai cita-cita yang ditanam," katanya.

Ditanya mengenai rancangannya selepas bersara, On yang merupakan bapa kepada lima orang cahaya mata itu nyata tidak dapat meluahkan kata-kata kerana terlalu hiba dengan majlis perpisahan tersebut.

Dalam bidang akademik semasa pentadbiran On, tahun lalu SK Sungai Abong telah mencapai peratusan lulus Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sebanyak 75.45 peratus dengan 12 murid mencatatkan keputusan 5A.

Selain itu, On juga telah membawa SK Sungai Abong sebagai sekolah yang disegani dalam persembahan kompang formasi dan selawat dengan menjadi johan di peringkat daerah pada tahun lalu.

Utusan Malaysia Online: 5 September 2009

Tiada ulasan: