Khamis, 3 September 2009

H1N1: SK Montfort periksa suhu badan murid

BATU PAHAT 2 Sept. - Sekolah Kebangsaan (SK) Montfort, di sini mengambil langkah berjaga-jaga dengan membuat pemeriksaansuhu badan ke atas setiap murid sebelum memasuki kelas bagi mencegah penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1) di sekolah berkenaan.

Guru Besar sekolah tersebut, Yeo Keng Guan berkata, langkah itu diambil ekoran dua muridnya dikesan positif H1N1 sebelum bermula cuti sekolah pada 22 Ogos lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua murid terbabit telah disahkan pulih oleh pihak hospital.

Menurutnya, dua alat pengesan suhu badan yang setiap satu berharga lebih RM400 disediakan bagi menjalankan pemeriksaan itu.

"Satu daripadanya disumbangkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) manakala satu lagi dibeli menggunakan dana sekolah," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, ibu bapa murid-murid yang mempunyai tanda-tanda H1N1 seperti demam panas yang melebihi had normal akan dihubungi bagi membawa pulang anak mereka.

"Saya berterima kasih kepada PIBG kerana telah menyumbangkan salah satu alat pengesan suhu badan bagi memudahkan kami membuat pemeriksaan," katanya.

Keng Guan meminta ibu bapa supaya lebih bertanggungjawab dan hanya menghantar anak mereka yang sihat ke sekolah.

"Murid-murid juga digalakkan memakai penutup mulut dan hidung dan berharap ibu bapa tidak keberatan menyediakannya ketika ke sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 3 September 2009

Tiada ulasan: