Sabtu, 5 September 2009

Buang senior buli junior

MELAKA - Tindakan tegas harus dikenakan terhadap pelajar Sekolah Menengah Agama Jaim Al-Ahmadi di Sungai Udang yang terlibat memukul seorang pelajar tingkatan satu sehingga mendapat kecederaan.

Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia, Datuk Yaakub Md Amin berkata, beliau akan memastikan tindakan buang sekolah dikenakan kepada pelajar terbabit sebagai satu pengajaran kepada pelajar lain.

Menurutnya, tingkah laku itu langsung tidak menggambarkan seorang pelajar sekolah agama dan harus ditukarkan ke sekolah jenis biasa.

“Bagi saya kes seumpama ini harus dipandang serius dan kita kena bertegas terhadap pelajar ini supaya budaya sebegini tidak terus menjadi ikutan pelajar lain.

“Kita tidak mahu, kejadian ini menyebabkan timbul rasa takut pelajar lain terutama junior kerana masih wujud budaya ‘ragging’ dan buli membuli,” katanya ketika diminta mengulas mengenai seorang pelajar lelaki tingkatan satu yang mendakwa cedera ditendang pelajar senior di asrama sekolah itu dalam kejadian Selasa lalu.

Akibat kejadian, pelajar berkenaan, Mohammad Sahrul Fitri Azhar, 13, dari Telok Mas mendakwa mengalami bengkak di bahagian pinggang dan sakit di bahu kanan.

Pelajar itu dipercayai berdendam dengan Fitri kerana pernah melaporkan kejadian salah seorang pelajar senior yang merokok.

Yaakub yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Udang berkata, perkara berkenaan harus didedahkan dan tidak mahu pihak pentadbir sekolah cuba menyorok hal seumpama itu.

“Saya akan terus memantau perkara ini supaya tidak wujud kejadian sama seperti yang berlaku di Sekolah Agama Jaim Al-Ahmadi di Sungai Udang.

“Kejadian sebegitu juga boleh menyebabkan pelajar junior takut dan menjejaskan pembelajaran mereka,” katanya.

Menurutnya, sekolah berkenaan dalam pemantauan beliau kerana tahap disiplin dan akademik yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Sementara itu, ibu Fitri, Norlaila Ahmad, 32, berkata, dia akan menukar anaknya ke sekolah lain sekiranya tiada tindakan diambil pihak sekolah terhadap pelajar yang menendang anaknya.

Sinar Harian: 5 September 2009

Tiada ulasan: