Sabtu, 5 September 2009

Lapan sekolah di Melaka terima Anugerah Sekolah Cemerlang



PULAU MELAKA - Pengarah Pelajaran Negeri Melaka, Isa Abu berkata, Program Solat Hajat Perdana diadakan untuk menambahkan keyakinan calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

“Seramai 15,201 pelajar di Melaka bakal menduduki UPSR, 14,664 calon PMR, 15,292 calon SPM dan 1,412 calon STPM,” katanya pada Program Solat Hajat Perdana dan Penyampaian Bantuan Tuisyen Asrama sempena peperiksaan UPSR, PMR, SPM dan STPM peringkat negeri Melaka 2009 di Masjid Selat, Pulau Melaka.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Negeri Pelajaran, Sains dan Teknologi serta Sumber Manusia Negeri Melaka, Datuk Yaakub Md Amin.

Majlis tersebut turut disertakan bacaan Yasin dan Tahlil.

Menurutnya, Jabatan Pelajaran Melaka mengambil beberapa langkah mempertingkatkan kecemerlangan termasuk mendapat bantuan Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri Melaka turut menyampaikan pelbagai bantuan kepada Jabatan Pelajaran Melaka dalam usaha mempertingkatkan prestasi pendidikan di Negeri Melaka,” katanya.

Isa berkata, sebanyak lapan sekolah dinobatkan sebagai pemenang daripada 60 pemenang seluruh negara dalam Anugerah Sekolah Cemerlang Kementerian Pelajaran Malaysia 2009 disempurnakan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Puad Zakarshi pada 18 Ogos lalu di Universiti Putra Malaysia.

“Jabatan Pelajaran Melaka mencalonkan 24 sekolah rendah dan menengah mengikut kategori masing-masing. Kejayaan cemerlang ini membanggakan,” katanya.

Isa berkata, sekolah tersebut menerima RM50,000 dalam bentuk geran pembangunan, sijil dan plag daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Antara sekolah yang berjaya menerima anugerah tersebut, Sekolah Kebangsaan (SK) Convent Infant Jesus 1 dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Notre Dame bagi kategori sekolah rendah bandar.

Sekolah berjaya mendapat anugerah kategori sekolah rendah luar bandar, SK Chabau, SK Bukit Beruang, SK Seri Laksamana dan SK Merlimau 2.

Dua sekolah menengah dipilih menerima anugerah kategori sekolah menengah harian luar bandar, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Keroh dan SMK Bukit Baru.

Sinar Harian : 5 September 2009

Tiada ulasan: