Khamis, 3 September 2009

Wajib hantar laporan harian

SEREMBAN 2 Sept. - Semua guru besar dan pengetua sekolah di negeri ini wajib menghantar laporan harian kesihatan pelajar masing-masing kepada Jabatan Pelajaran negeri untuk tujuan pemantauan penularan wabak selesema babi atau influenza A (H1N1).

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Jabatan Pelajaran negeri pula hendaklah menghantar laporan berkenaan setiap hari kepada Jawatankuasa Pemantau Peringkat Negeri H1N1 yang beroperasi di Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) di sini.

''Kita mahu melihat grafnya kerana penularan wabak ini menurun sepanjang musim cuti persekolahan baru-baru ini.

''Kita mahu tahu, jika berlaku peningkatan kes berkenaan selepas sekolah dibuka semula minggu ini serta melihat sama ada grafnya mendatar, menurun atau kembali meningkat.

''Jika terdapat pelajar di sekolah berkenaan kembali dijangkiti wabak H1N1, kita akan bertindak untuk menutup sekolah tersebut bagi memastikan ia tidak menular dalam keadaan yang lebih teruk," kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Mohamad memberitahu, ketika ini sebanyak enam kematian dilaporkan di negeri ini akibat wabak H1N1 dan seramai enam orang lagi kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tuanku Ja'afar di sini serta dilaporkan kritikal.

Ditanya berita terkini terdapatnya tiga kematian pada 30 Ogos lalu di negeri ini berkemungkinan disebabkan wabak H1N1, Mohamad memberitahu, biarlah ia diumumkan oleh Kementerian Kesihatan kerana mereka masih meneliti punca kematian tersebut ketika ini.

Sehubungan itu pada Mesyuarat Keselamatan Negara peringkat negeri semalam, Mohamad memberitahu kerajaan telah memutuskan supaya Klinik Kesihatan Senawang yang akan mula dibuka operasinya pada 7 September ini dijadikan pusat khusus merawat sebarang jangkitan atau kaitan dengan selesema.

''Kita mahu membuat pengasingan awal. Jika terdapat di kalangan rakyat di negeri ini yang mengalami selesema, sila ke Klinik Kesihatan Senawang untuk mendapatkan rawatan," kata beliau.

Selain itu juga, beliau mahu Jabatan Penerangan memainkan peranan lebih aktif memaklumkan kepada orang ramai terhadap bahaya wabak H1N1 ini dan mencetak seberapa banyak risalah berkaitan itu bersama-sama Jabatan Kesihatan negeri.

''Kesedaran rakyat masih rendah. Rakyat seolah-olah tidak ambil peduli mengenai ancaman serius wabak H1N1 ini. Saya ingin tegaskan kepada mereka semua bahawa wabak ini boleh menyebabkan kematian," kata beliau.

Mohamad juga mahu risalah berkenaan diedarkan melalui surat khabar dan komponen media yang lain termasuklah hebahan radio dan sebagainya supaya rakyat di negeri ini benar-benar peka terhadap bahaya H1N1.

Utusan Malaysia Online: 3 September 2009

Tiada ulasan: