Sabtu, 5 September 2009

Pelajar dakwa ditendang senior ala kung fu



NORLAILA Ahmad menunjukkan bengkak di bahagian pinggang anaknya, Mohamad Sahrul Fitri Azhar yang didakwa akibat ditendang pelajar senior di asrama sekolahnya di Melaka, semalam.


MELAKA 4 Sept. - Seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah agama di Sungai Udang mendakwa mengalami kecederaan akibat ditendang pelajar senior di asrama sekolah itu, baru-baru ini.

Mangsa, Mohamad Sahrul Fitri Azhar, 13, dari Telok Mas mendakwa, mengalami kecederaan iaitu bengkak di bahagian pinggang dan sakit di bahu kanan berikutan tindakan pelajar senior itu.

Menurut mangsa, dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 malam kelmarin, dia dan seorang lagi rakannya, Mohd. Fazlan Abu Bakar pergi ke bilik ketua asrama sekolah berkenaan.

"Saya dipanggil oleh ketua asrama untuk memberi keterangan mengenai kejadian Mohd. Fazlan yang turut dipukul oleh salah seorang senior sebelum ini.

"Ketika bercakap dengan ketua asrama, tiba-tiba salah seorang pelajar senior yang turut berada dalam bilik itu telah menendang saya ala kung fu sehingga saya terjatuh," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Mohamad Sahrul berkata, pelajar senior itu terus menendangnya beberapa kali di bahagian pinggang dan bahu selepas dia terjatuh.

Katanya, pelajar berkenaan dipercayai berdendam dengannya kerana dia pernah melaporkan kejadian salah seorang pelajar senior merokok.

"Selepas mengadu pada guru, pelajar berkenaan telah dibuang sekolah. Akibat rasa tidak puas hati, salah seorang rakannya telah memukul saya dengan penyapu sehingga patah kira-kira sebulan yang lalu.

"Perkara ini telah saya adukan kepada guru dan pelajar senior yang pukul saya telah digantung sekolah," katanya.

Sementara itu, ibu mangsa, Norlaila Ahmad, 32, berkata, dia telah membuat laporan polis berhubung kejadian yang menimpa anaknya.

Menurutnya, ketika kejadian pertama yang menimpa anaknya sebelum itu guru di sekolah berkenaan telah berjanji akan mengambil tindakan tegas dan perkara itu tidak akan berulang.

"Namun nampaknya pelajar di situ tidak serik dan tindakan gantung sekolah saja tidak menakutkan mereka.

"Jika tidak dilaporkan pada polis, saya bimbang anak saya akan mati dipukul pelajar senior," katanya.

Utusan Malaysia Online: 5 September 2009

Tiada ulasan: