Khamis, 3 September 2009

JPN terima RM200,000 elak H1N1 calon UPSR



KOTA BHARU - Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kelantan menerima peruntukan lebih RM200,000 sebagai persiapan bagi menangani penyebaran virus Influenza A (H1N1) dalam kalangan pelajar di negeri ini.

Pengarah JPN, Mohd Ghazali Abdul Rahman berkata, peruntukan berkenaan membabitkan kemudahan topeng muka, termometer dan peralatan lain yang berkaitan.

Menurutnya, agihan berkenaan diberikan kepada JPN Kelantan untuk digunakan bagi calon-calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan juga pengawas peperiksaan yang bertugas.

“Agihan peralatan berkenaan sepatutnya sudah diedarkan kepada setiap Pejabat Pelajaran Daerah berakhir hari ini (semalam) dan ia mula diagihkan pada 23 Ogos lalu.

“Lembaga Peperiksaan Malaysia juga turut menyediakan kelengkapan khusus untuk digunakan bagi 2,720 petugas peperiksaan di seluruh daerah,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabatnya di sini, semalam.

Terdahulu beliau yang juga Yang Dipertua Badan Ihsan Warga Pendidikan JPN Kelantan menyampaikan sumbangan kepada dua waris kakitangan JPN yang meninggal dunia baru-baru ini.

Mohd Ghazali berkata, pada tahun ini terdapat seramai 37,417 calon yang akan menduduki UPSR di 431 pusat peperiksaan seluruh daerah bermula pada 8 September ini.

“Saya bersyukur kerana calon-calon kita sehingga kini tidak ada yang terlibat dengan virus ini dan bagaimanapun langkah-langkah pencegahan terus diperketat supaya mereka dapat menjalani peperiksaan dalam keadaan baik.

“Malahan petugas-petugas juga akan turut menjalani pemeriksaan suhu badan dan saya berharap pengawas peperiksaan dapat menjaga kesihatan mereka,” katanya.

Mohd Ghazali juga berkata, sumbangan yang diberikan ini juga menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan di seluruh negara termasuk Kelantan adalah baik.

Sinar Harian (Edisi Kelantan): 3 September 2009

Tiada ulasan: