Khamis, 10 September 2009

Anak Shafie ceria bersekolah


Harison Nayan menyikat rambut anaknya, Mohd. Azizi Yusuf Shafie yang memulakan persekolahan bersama adiknya, Siti Zubaidah di Kampung Matang Kenang, Mukim Padang Hang, Alor Setar, Kedah, semalam. - utusan/ismail kamadin


ALOR SETAR 9 Sept. - Tidak ada perkara yang lebih menggembirakan dua beradik, Siti Zubaidah dan abangnya, Mohd. Azizi Yusuf Shafie melainkan menjejak kaki ke sekolah untuk menimba ilmu sebagaimana rakan- rakan.

Hari ini Siti Zubaidah, 7, bergelar murid Tahun 1 Sekolah Kebangsaan (SK) Simpang Tiga, Padang Hang di sini manakala di kelas lain, abangnya Mohd. Azizi Yusuf, 8, ceria mendapat rakan baru di kalangan murid Tahun dua.

Kedua-duanya dihantar ke sekolah tersebut oleh bapa mereka, Shafie Ibrahim, 46, dengan motosikal dari rumah sewa sejauh kira-kira tiga kilometer sejak pukul 7.30 pagi untuk proses pendaftaran persekolahan.

Siti Zubaidah dan Mohd. Azizi Yusuf menikmati alam persekolahan atas inisiatif Jabatan Pelajaran Kedah selepas kisah mengenai tiga anak Shafie yang terpaksa berhenti sekolah akibat kemiskinan keluarga disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia kelmarin.

Shafie yang mengambil upah menjual buah-buahan tidak mampu untuk membiayai kos pengajian lima anaknya akibat desakan kemiskinan.

Selain Siti Zubaidah dan Mohd. Azizi Yusuf, Nazrul Azriwan, 19, serta Mohd. Azroy Hashim, 17, hanya bersekolah hingga ke Tahun Enam manakala Nor Azliza, 14, cuma sempat belajar hingga Tahun Empat.

Nasib malang keluarga Shafie turut mendapat perhatian beberapa lagi pihak termasuk individu yang menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban ditanggung oleh mereka.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Simpang Tiga Rosadah Hashim memberitahu, proses kemasukan Siti Zubaidah dan Mohd, Azizi Yusof di sekolah berkenaan tidak menghadapi masalah.

"Kami sudah pasti akan memberi bantuan termasuk proses pemulihan ke atas kedua-dua murid yang ketinggalan dalam beberapa aspek pembelajaran kerana lewat masuk ke sekolah.

"Bagaimanapun, saya dapati mereka boleh membaca, sudah tentu tidak sukar untuk membimbing mereka," katanya.

Menurut Rosadah, murid-murid berkenaan mendapat sumbangan buku teks daripada sekolah manakala Jabatan Pelajaran Kedah membekalkan kelengkapan dan peralatan persekolahan.

"Kami juga akan mengusahakan bantuan lain termasuk membeli basikal bagi kegunaan murid-murid berkenaan ke sekolah," katanya.

Utusan Malaysia Online: 10 September 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Silalah lawati blog www.rajamenangis.blogspot untuk mendapatkan bahan sejarah tempatan yang menarik dan menyayat hati serta untuk memperkuatkan jati diri kita sebagai rakyat tanah air tercinta.


www.rajamenangis.blogspot.com