Rabu, 2 September 2009

SMK Khai Mun dapat termometer digital



CHAMANG – Lembaga Pengelola Sekolah Menengah Kebangsaan Khai Mun menyumbangkan sebanyak empat unit termometer (jangka suhu) digital untuk keperluan kakitangan dan pelajar sekolah ini.

Pengerusinya, Datuk Hoh Khai Mun berkata, termometer digital ini akan digunakan untuk membuat ujian saringan awal bagi mencegah penularan Influenza A H1N1 dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, sebagai�mana diketahui sekolah merupakan salah satu tempat penularan wabak ini dengan mudah di mana ia dapat dilihat menerusi penutupan beberapa sekolah sebelum ini.

“Sebagai menjalankan tanggungjawab sosial kepada pelajar dan kakitangan sekolah ini, ahli jawatankuasa Lembaga Pengelola sekolah ini sepakat untuk menyumbangkan peralatan ini.

“Sebanyak RM2,200 dikeluarkan untuk membeli peralatan ini di mana harga seunit ialah RM550 dan bagi menggantikan termometer yang biasa digunakan untuk menjalankan pemeriksaan suhu badan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Termometer Digital kepada Pengetua SMK Khai Mun, Cheong Chok Weng dan turut dihadiri oleh Pegawai Kesihatan Daerah Bentong, Dr Rosli Ismail.

Khai Mun berkata, termometer digital ini lebih praktikal kerana ia hanya mengambil masa lebih kurang 0.5 saat dengan jarak sebanyak lapan inci untuk mendapatkan suhu badan seseorang dan ia menjimatkan masa.

Menurutnya, jika dibandingkan dengan termometer biasa, ia mengambil masa lebih lama iaitu sekurang-kurangnya dua minit.

“Dengan jumlah pelajar sebanyak 600 orang sudah pasti masa yang agak lama diperlukan untuk memeriksa suhu badan namun dengan penggunaan termometer digital ini ia dapat membantu memudahkan guru menggunakannya.

“Pelajar yang mempunyai suhu badan melebihi 38 darjah Celsius akan dibawa mendapatkan rawatan lanjut di klinik dan hospital berhampiran dan mereka yang disahkan mempunyai simptom Infleuenza A H1N1 disaran menjalani proses kuarantin di rumah,” kata Khai Mun.

Beliau berkata, dengan usaha yang dijalankan oleh Lembaga Pengelola ini dapat dijadikan contoh kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) untuk turut sama mengambil pendekatan sesuai membantu mencegah penularan wabak ini di sekolah.

Sinar Harian (Edisi Pahang) : 2 September 2009

1 ulasan:

elliey alieyah berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.